13 Ogo 2009

ekspresi merdeka kah kita ini II


Kita kembali dari entri yang lepas...

Pagi-pagi manusia yang tumpah di Kuala Lumpur dari pelbagai pelosok daerah tetap tahu apa yang penting.

PEKERJAAN.

Soalnya,apakah hanya disitu bermula dan berakhirnya?
Jangan terkeliru kawan-kawanku. Jejak gerak harian kita sebenarnya sekarang amat bercerita dan membayangkan tentang mutu kehidupan bandar di samping mengimbas sisa ragam kehidupan desa kita.

Dari fesyen busana mereka yang rata-ratanya berjenama, dari ragam rambutnya yang terkacau santai atau yang tegak berselerak; dari cara duduknya lelap tersengguk atau cergas celek menatap Forbes atau Mastika; dari beg sandang kukuh yang digemuki laptop, MEREKA ADALAH BAYANGAN RAKYAT CEMAS MENYAIGI WAKTU.

Memang selalunya mereka kelihatan bahagia, tidak mustahil mereka pintar menyembunyikan derita.

Di tengah-tengah ragam dan gelagat manusia kota beginilah selalunya kita terangsang bertanya BAGAIMANA DENGAN DUNIA KEHIDUPAN SENI MEREKA SELEPAS BEKERJA? Apakah mereka yang tampak sibuk ini sedar atau sempat menikmati khazanah budaya?

Apakah kesibukan tuntutan harian membatasi dan mengalpakan kita akan kualiti hidup berlandaskan ilmu dan seni?

Sekilas pandang masyarakat Melayu sering dirunguti kurang kesedaran membaca dn penghayatan seninya. Barangkali kita memang tahu atau sedar akan inti-inti penting ucapan mantan Perdana Menteri tentang pelbagai masalah negara, tapi percayalah kita adalah manusia yang cepat dan mudah gugup apabila ditanya tentang sesuatu di luar jendela wilayah rutin kita.

Yang muda mungkin terbiasa benar dengan Dayang Nurfaizah, Hrithik Roshan atau Blue. Tapi tidak mustahil, kita kebanyakan bakal segan jika ditanya seputar skandal korporat Kenneth L. Lay, Pengerusi Enron dan akhir sekali jangan terluka jika ramai didapati kurang tahu tentang kegiatan Majlis Teater Kebangsaan Malaysia atau tidak mengikuti pembukaan minda umat Melayu Islam.

Sekian saja entri ini. Renungkanlah untuk sedar apakah aspirasi kita.
Sungguh emosi dan agak patriot untukku menelurkan entri ini.

ekspresi merdeka kah kita ini

Elarti (LRT) dari Bangsar ke Ampang antara jam 7.30 pagi ke 9.40 pagi rutinnya anda akan terpaksa bersesak, tercium pelbagai bau deodoran dan perfum.

Yang sempat duduk kelihatannya mula ramai yang membaca, yang bersandar di dinding atau di tiang segelintirnya rajin ber'sms', kekadang tertawa dan terbeliak ke skrin fon genggam (handphone la benda alah ini).

Dan sebelum koc-koc menumpahkan 'tentera pagi'nya di KL Sentral, kita mungkin sempat juga meliahat atau terlihat beberapa orang menguap. Rupa-rupanya masih ada juga yang layu di pagi yang ayu.

Terlihat sejemput penumpang yang membaca, juga segelintir yang berselerak asyik melayan fon genggam yang semakin "menguasai" manusia. Nyata benar e-dagang, e-cinta dan e-gosip sentiasa cergas berkomunikasi dalam elarti, dalam barisan menunggu bas dan tidak mustahil di dalam tandas.

Sepintas lalu apakah sebenarnya yang jelas bercerita oleh rutin kehidupan sebegini? Berbeza-beza dan banyak. Yang pasti, manusia Kuala Lumpur memang rata-ratanya cergas bekerja, rajin bercakap, bernafsu makan, santai berbelanja dan jangan lupa kedekut seni.

Entri ini akan bersambung...ini hanya sepintas lalu ekspresi diambang sambutan kemerdekaan kita...